22 November 2014

Tempat Jatuh Lagi Dikenang, Inikan Pula Tempat Menuntut Ilmu




 

    Dutchess Community College
53 Pendell Road
Poughkeepsie
NY 12601
United States

Syukur, Alhamdulillah. 20 Oktober 2014, tarikh yang telah tertulis untuk kami menjejakkan kaki semula ke kampus di mana tempat pertama kami menuntut ilmu di Amerika Syarikat. 31 tahun bukanlah satu jangka masa yang pendek. Sudah tentulah tenaga pengajar ketika kami menuntut dahulu telah bersara, namun bangunan yang sedia ada masih di situ. Malah pohon-pohon besar yang sering menemani kami ketika berehat dan bersolat masih wujud. Terdapat juga beberapa bangunan baru. 

Aduh! Segala-galanya masih segar di ingatan. Suka-duka sebagai pelajar. Jauh dari keluarga yang dikasihi dan dirindui. Melalui musim yang silih-berganti adalah sesuatu pengalaman baru buat kami. Namun akhirnya, alah bisa tegal biasa. Andai masa boleh diputarkan ke belakang.....


Bangunan yang menempatkan bilik kuliah (classrooms), makmal & bilik pensyarah

Laluan keluar di bahagian belakang Hudson Hall untuk ke bangunan lain

Bowne Hall




 Bowne Hall adalah bekas bangunan hospital TB yang dibina sekitar 1913 dan dikenali sebagai Nettie Bowne TB Hospital. Ketika kami menuntut dahulu, Bowne Hall menempatkan bilik kuliah dan pejabat pendaftar (Registrar's Office). Pernah dikhabarkan bahawa bangunan ini berhantu. Maklumlah ianya adalah bekas bangunan hospital yang menyaksikan banyak kematian.



Student Services Center




Ketika kami menuntut dahulu, bangunan dalam gambar di atas adalah sebuah perpustakaan. Kini ianya adalah Jack And LLelanie Orcutt Student Services Center. Pejabat pendaftar juga terdapat di sini. Manakala perpustakaan pula terletak di dalam Hudson Hall.


Taconic Hall yang menempatkan Engineering Department

Dutchess Hall adalah pusat aktiviti pelajar



 







Drumlin Hall menempatkan kafeteria untuk pelajar


Ini adalah bangunan baru buat kami


Allyn J Washington Building




Pemandangan yang indah di sekitar kampus yang sentiasa menawan hati kami.




Parkir pelajar









Tempat kami menunggu bas suatu masa dahulu telah dijadikan parkir untuk OKU













17 November 2014

Menelusuri Jalan Kenangan (Going Down The Memory Lane)


 
Di sini lahirnya sebuah cinta.....


Dengan izinNya, bandar Poughkeepsie yang meninggalkan seribu kenangan suatu masa dahulu kami jejaki pada 20 Oktober 2014. Terletak di tepi Hudson River, Poughkeepsie Waterfront masih sama seperti 31 tahun dahulu. Sungai yang setia mengalir, serta pokok dan bangku masih di sana. Seolah-olah setia menantikan kedatangan kami. Keindahan musim luruhnya yang membuatkan kami kembali ke sana. Warna alam ciptaan Allah SWT, Subhanallah amat mempersonakan. Dedaun yang berbagai warna; hijau, kuning, merah dan coklat. Itulah warna-warni musim luruh. Manakala dedaun yang berselerak menandakan musim luruh terus menuju ke penghujungnya. Tiupan angin petang dan beburung putih yang hinggap di atas batu seolah-olah menyambut kedatangan kami.

Tiada kata secantik bahasa, namun foto-foto yang sempat kami rakamkan menggambarkan segala-galanya.


Bangku dan pokok masih di situ




Beburung putih ini seolah-olah menyambut kedatangan kami


Kapal yang menyusuri Hudson River

Jeti ini adalah sesuatu yang baru buat kami.....

"Memory lane" yang akan terus terpahat di ingatan

 



16 November 2014

Perjalanan Menggapai Impian



Mid-Hudson River Bridge


Pertemuan kami di bandar kecil bernama Poughkeepsie, yang terletak 91 batu ke utara New York City pada musim luruh 1981. Kedatanganku ke sana untuk menuntut di Dutchess Community College, manakala suami ketika itu telah menuntut di situ satu semester lebih awal. Namun kami berlainan bidang. Percintaan kami berakhir di jinjang pelamin pada bulan Jun 1982. Pada bulan Jun tahun berikutnya, kami berpindah ke Columbia, Missouri untuk melanjutkan pengajian di University of Missouri-Columbia. Sejak itu kami tidak pernah kembali ke Poughkeepsie. Akhirnya kami kembali ke tanahair setelah tamat pengajian dalam bulan Disember 1985.

Apabila anak-anak kami semakin meningkat remaja, kami berangan-angan untuk menjejakkan kaki ke bumi Poughkeepsie. Hajat di hati ingin menelusuri jalan kenangan kami. Perancangan awal kami adalah untuk ke sana pada bulan September 2001. Namun suami tidak mendapat cuti dari tugasan kerjanya. Rupa-rupanya terdapat rahmat di sebalik gagalnya perancangan kami kerana berlakunya peristiwa 9/11 pada bulan September tersebut.

Ketika anak bongsu kami, Nur Syafiqah ditawarkan untuk melanjutkan pelajarannya ke California pada bulan Ogos lepas, kami cuba untuk merealisasikan impian kami itu. Berbagai dugaan telah kami alami seawal permohonan visa untuk ke US. Permohonan visa suami ditangguhkan kelulusannya buat sementara waktu, sedangkan permohonan visaku telah diluluskan pada hari yang sama. Akhirnya permohonan visa suami diluluskan setelah 3 minggu beliau menjawab beberapa soalan yang dikemukakan oleh pihak Kedutaan Amerika Syarikat.

Perjalanan dari Newark Liberty Airport dengan kereta sewa memakan masa 2 jam. Ketika dalam perjalanan itu, aku teringat akan arwah nenek yang selalu tidak setuju apabila kami membuat perjalanan pada waktu malam. Lebih-lebih lagi ke suatu tempat yang sudah terlalu asing dan tiada sesiapa yang hendak ditemui. Dalam hatiku berkata, "Betul ke apa yang kami buat ni?"

Dalam kedinginan malam itu, kami nekad untuk terus ke Poughkeepsie. Lebuhraya yang terlalu asing buat kami, tapi kami teruskan perjalanan dengan bantuan GPS. Syukur Alhamdulillah, dengan izinNya dan dalam linangan airmata kami akhirnya melintasi Mid-Hudson Bridge sekitar pukul 11.00 malam pada 19 Oktober, 2014. Suhu pada malam tersebut adalah 0℃. 

Kami terus mencari McDonald's yang terletak di Main Street, namun tiada apa yang kami temui dalam kegelapan malam itu. Hanya bangunan yang sedang dalam pembinaan. Akhirnya dengan bantuan GPS, kami berjaya mencari sebuah lagi McDonald's di suatu kawasan baru. Dapat juga kami mengisi perut yang sedang kelaparan walaupun dengan Fillet-O-Fish sahaja. Syukur, alhamdulillah itulah rezeki kami pada malam yang dingin di bulan Oktober lalu.



Setelah makan, kami mencari tempat untuk bermalam. Dalam kedinginan  malam itu dengan suhu yang semakin jatuh ke -1℃, akhirnya kami bermalam di Poughkeepsie Inn. Melabuhkan tubuh kami yang telah kepenatan kerana perjalanan hari itu yang memakan masa sehari suntuk. Bermula dari Fremont, California seawal 3.30 pagi itu waktu tempatan dan tiba di Poughkeepsie pada pukul 11.00 malam waktu tempatan.



Tunggukan post seterusnya, Menelusuri Jalan Kenangan. In shaa Allah.








Soto Banjar

Jika anda berkesempatan menjejakkan kaki ke bumi Banjarmasin, jangan lupa untuk mencuba Soto Banjar. Tempat paling popular untuk m...