16 November 2014

Perjalanan Menggapai Impian



Mid-Hudson River Bridge


Pertemuan kami di bandar kecil bernama Poughkeepsie, yang terletak 91 batu ke utara New York City pada musim luruh 1981. Kedatanganku ke sana untuk menuntut di Dutchess Community College, manakala suami ketika itu telah menuntut di situ satu semester lebih awal. Namun kami berlainan bidang. Percintaan kami berakhir di jinjang pelamin pada bulan Jun 1982. Pada bulan Jun tahun berikutnya, kami berpindah ke Columbia, Missouri untuk melanjutkan pengajian di University of Missouri-Columbia. Sejak itu kami tidak pernah kembali ke Poughkeepsie. Akhirnya kami kembali ke tanahair setelah tamat pengajian dalam bulan Disember 1985.

Apabila anak-anak kami semakin meningkat remaja, kami berangan-angan untuk menjejakkan kaki ke bumi Poughkeepsie. Hajat di hati ingin menelusuri jalan kenangan kami. Perancangan awal kami adalah untuk ke sana pada bulan September 2001. Namun suami tidak mendapat cuti dari tugasan kerjanya. Rupa-rupanya terdapat rahmat di sebalik gagalnya perancangan kami kerana berlakunya peristiwa 9/11 pada bulan September tersebut.

Ketika anak bongsu kami, Nur Syafiqah ditawarkan untuk melanjutkan pelajarannya ke California pada bulan Ogos lepas, kami cuba untuk merealisasikan impian kami itu. Berbagai dugaan telah kami alami seawal permohonan visa untuk ke US. Permohonan visa suami ditangguhkan kelulusannya buat sementara waktu, sedangkan permohonan visaku telah diluluskan pada hari yang sama. Akhirnya permohonan visa suami diluluskan setelah 3 minggu beliau menjawab beberapa soalan yang dikemukakan oleh pihak Kedutaan Amerika Syarikat.

Perjalanan dari Newark Liberty Airport dengan kereta sewa memakan masa 2 jam. Ketika dalam perjalanan itu, aku teringat akan arwah nenek yang selalu tidak setuju apabila kami membuat perjalanan pada waktu malam. Lebih-lebih lagi ke suatu tempat yang sudah terlalu asing dan tiada sesiapa yang hendak ditemui. Dalam hatiku berkata, "Betul ke apa yang kami buat ni?"

Dalam kedinginan malam itu, kami nekad untuk terus ke Poughkeepsie. Lebuhraya yang terlalu asing buat kami, tapi kami teruskan perjalanan dengan bantuan GPS. Syukur Alhamdulillah, dengan izinNya dan dalam linangan airmata kami akhirnya melintasi Mid-Hudson Bridge sekitar pukul 11.00 malam pada 19 Oktober, 2014. Suhu pada malam tersebut adalah 0℃. 

Kami terus mencari McDonald's yang terletak di Main Street, namun tiada apa yang kami temui dalam kegelapan malam itu. Hanya bangunan yang sedang dalam pembinaan. Akhirnya dengan bantuan GPS, kami berjaya mencari sebuah lagi McDonald's di suatu kawasan baru. Dapat juga kami mengisi perut yang sedang kelaparan walaupun dengan Fillet-O-Fish sahaja. Syukur, alhamdulillah itulah rezeki kami pada malam yang dingin di bulan Oktober lalu.



Setelah makan, kami mencari tempat untuk bermalam. Dalam kedinginan  malam itu dengan suhu yang semakin jatuh ke -1℃, akhirnya kami bermalam di Poughkeepsie Inn. Melabuhkan tubuh kami yang telah kepenatan kerana perjalanan hari itu yang memakan masa sehari suntuk. Bermula dari Fremont, California seawal 3.30 pagi itu waktu tempatan dan tiba di Poughkeepsie pada pukul 11.00 malam waktu tempatan.



Tunggukan post seterusnya, Menelusuri Jalan Kenangan. In shaa Allah.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Soto Banjar

Jika anda berkesempatan menjejakkan kaki ke bumi Banjarmasin, jangan lupa untuk mencuba Soto Banjar. Tempat paling popular untuk m...