08 Mac 2019

Jejak Kasih Kulaan Leluhur (Saudara Sejati)

Taman Siring Banjarmasin

1 Mac 2019..... Bermulalah kembara kasih kami sekali lagi. Kali ini ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan yang terletak di Pulau Borneo. Kota yang juga dikenali sebagai Kota Seribu Sungai.

Ada yang bertanya kepadaku..... Kenapa ke Banjarmasin? Ada apa di Banjarmasin? Mungkin ramai yang tidak tahu tentang Banjarmasin seperti mana mereka mengetahui tentang Jakarta, Bandung, Surabaya, Bali dan beberapa bandar-bandar besar di Indonesia. 

Pada asalnya kami bercadang untuk bercuti dan menjejak kasih saudara sebelah arwah nenek suamiku yang berketurunan Banjar sekitar penghujung Januari 2019. Ternyata setelah diberitahu oleh Atuk Bastani bahawa ada 2 majlis perkahwinan anak kulaan pada 3 Mac, 2019, maka kami menukar rancangan kami untuk menyertai mereka pada majlis tersebut agar dapat mengenali kulaan yang belum pernah kami kenali.

Perjalanan bermula dari KLIA menaiki pesawat Garuda Indonesia sekitar pukul 1 tengahari. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa tiada penerbangan terus ke Banjarmasin, kerana Banjarmasin bukanlah port of entry. Jadi penerbangan kami berhenti di Jakarta untuk pemeriksaan imigresen dan kemudian ke Banjarmasin dengan Garuda Indonesia juga. Kami menjejakkan kaki di Banjarmasin pada sekitar pukul 7.15 malam.

Bandara Syamsudin Noor yang terletak di Banjarbaru hanyalah sebuah lapangan terbang yang kecil. Mungkin sebesar Terminal 2 di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang sekitar 1980an dahulu. Ketika berjalan keluar dari pintu ketibaan, hatiku terasa sayu dan airmataku bergenang apabila melihat wajah-wajah orang Banjar..... kerana terlintas di fikiranku akan cerita-cerita dari arwah nenek suami. Tentang moyang neneknya yang berasal dari Banjarmasin, merantau meninggalkan kampung halaman membawa keluarga bersama untuk mencari sebuah kehidupan baru. Dalam hatiku berkata, "Kalaulah arwah nenek masih hidup, tentu dia gembira apabila mengetahui yang kami akan menjejak kasih yang telah terputus sekian lama. 

Kami menaiki teksi untuk ke Swiss-Belhotel Borneo Banjarmasin yang memakan masa 45 minit. Ketibaan kami disambut dengan penuh santun dan lemah-lembut. Hilang segala penat-lelah sepanjang perjalanan dari Malaysia yang mengambil masa hampir 9 jam (campur stop over di Jakarta)

Alhamdulillah, bahasa tidak menjadi masalah bagiku kerana aku boleh basurah banjar. Aku belajar bercakap banjar dari arwah nenek suamiku yang tinggal dengan kami hampir 12 tahun lamanya. Beliau kembali ke rahmatullah pada 8 Ogos, 1998. Al-Fatehah buat arwah nenek, Hajjah Siti Rahmah binti Haji Basri bin Haji Sulaiman.

Hajjah Siti Rahmah

Telah terlalu lama aku tinggalkan blog ini..... 
In shaa Alah, akan kuabadikan perjalanan kami seterusnya di blog ini, khas buat suami yang kukasihi.



Terjemahan Bahasa Banjar ke Bahasa Melayu:

Kulaan = saudara
Leluhur = sejati
Basurah = bercakap


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Soto Banjar

Jika anda berkesempatan menjejakkan kaki ke bumi Banjarmasin, jangan lupa untuk mencuba Soto Banjar. Tempat paling popular untuk m...