25 Mac 2019

Soto Banjar



Jika anda berkesempatan menjejakkan kaki ke bumi Banjarmasin, jangan lupa untuk mencuba Soto Banjar. Tempat paling popular untuk menikmatinya ialah di Depot Soto Bang Amat yang terletak di pinggir Sungai Martapura.

Menikmati Soto Banjar di pinggir Sungai Martapura
Soto Banjar ini adalah hidangan sepanjang hari sepertimana kita menikmati nasi lemak. Kita akan diberi pilihan samada memilih ketupat atau nasi untuk melengkapkan hidangan soto tersebut. Rasanya mungkin tidak banyak beza dengan soto di Malaysia. Namun ianya dihidang dengan telur itik yang direbus, suun, pegedil dan hirisan limau purut. Untuk menambah rasa, terdapat sambal cili yang telah ditumis (dalam mangkuk berwarna merah) dan juga kicap. Bagi anda yang suka mencuba makanan lain, bolehlah memesan sate walaupun waktu masih pagi..... 



Gendang gendut tali kecapi
Kenyang perut berjalan lagi



16 Mac 2019

Pasar Terapung Banjarmasin

Pasar terapung di Lok Baintan
2 Mac 2019..... Usai solat Subuh, aku dan suami turun ke lobi hotel di mana pegawal keselamatan bertugas mengiringi kami ke jeti yang berada di hadapan hotel. Klotok (perahu) yang membawa pelancung seperti kami telah tersedia menanti untuk membawa kami ke Pasar Terapung di Lok Baintan. Kami tidak perlu membayar tambang klotok tersebut kerana ianya telah disediakan oleh pihak hotel.


Klotok - perahu yang membawa pelancung
Jujur kukatakan bahawa aku tidak meletakkan sebarang harapan untuk turut serta ke pasar terapung tersebut kerana aku mempunyai banyak kekurangan berbanding orang lain kerana osteoarthrits yang kuhidapi ini membataskan pergerakanku. Aku tidak mampu untuk duduk di lantai, apatah lagi bersila atau bersimpuh. Namun suamiku bersungguh-sungguh menyuruh aku ikut sama sehinggakan dia meminta pengawal keselamatan tersebut memberitahu pengemudi klotok tersebut supaya meletakkan bahagian belakang klotok tersebut berhampiran dengan tempat aku berdiri. Terdapat bangku di bahagian belakang klotok itu.


Kebanyakan orang memilih untuk duduk di atas lantai klotok




Aku berjaya melangkah ke dalam kelotok dengan bantuan suami dan salah seorang penumpang. Perjalanan dari hotel bermula pada pukul 5.45 pagi. Masih kedengaran orang sedang berzikir dari masjid-masjid dan surau-surau di sepanjang perjalanan menyusuri Sungai Martapura untuk ke Lok Baintan. Kami sempat menikmati keindahan matahari terbit pagi itu. Juga pemandangan masyarakat Banjar yang tinggal di sepanjang pinggir sungai tersebut. Ada yang sedang membasuh baju. Ada yang sedang menggosok gigi dan mandi tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Begitulah keadaan masyarakat Banjarmasin yang tinggal di sepanjang pinggir Sungai Martapura.







Motosikal menggunakan titi yang diperbuat dari kayu. Titi itulah yang menyambungkan setiap rumah


Terdapat kedai runcit di antara rumah-rumah di tepian Sungai Martapura

Mencedok air untuk kegunaan harian



Kelihatan seorang wanita membasuh pakaian






Kami sampai ke pasar terapung di Lok Baintan sekitar pukul 7.05 pagi. Para penjual menggunakan perahu yang lebih kecil dipanggil jukung. Kebanyakkan penjual adalah wanita Banjar. Aku kagum dengan semangat mereka kerana mampu mendayung menongkah arus untuk mencari sesuap nasi. Malahan ramai yang lebih berusia dariku. Ada yang menjual buah-buahan, sayur-sayuran, makanan, minuman dan cenderahati. Tawar-menawar adalah perkara biasa ketika kita membeli dengan para peniaga.


Perahu kecik yang dikenali sebagai jukung




Tawar-menawar adalah perkara biasa



 
Kuih yang kami beli



Setelah kami berada di pasar terapung selama lebih-kurang setengah jam, pengemudi klotok membawa kami pulang ke hotel. Perjalanan pulang adalah singkat kerana perjalanan kami mengikut aur air sungai.

Suamiku sempat berbisik kepadaku kenapa dia bersungguh-sungguh membawa aku menaiki klotok ke pasar terapung tersebut..... Lawatan ke Banjarmasin tidak akan lengkap kalau tidak turut serta ke pasar terapung menaiki klotok. Terima kasih buat suamiku.

Satu pengalaman yang takkan kulupakan.....Terima kasih Ya Allah kerana aku diberikan kesempatan ini untuk ke Pasar Terapung di Lok Baintan. Walaupun dalam kepayahan aku mampu melangkah masuk ke dalam klotok.....

Banjarmasin juga dikenali sebagai Kota Seribu Sungai.....






08 Mac 2019

Jejak Kasih Kulaan Leluhur (Saudara Sejati)

Taman Siring Banjarmasin

1 Mac 2019..... Bermulalah kembara kasih kami sekali lagi. Kali ini ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan yang terletak di Pulau Borneo. Kota yang juga dikenali sebagai Kota Seribu Sungai.

Ada yang bertanya kepadaku..... Kenapa ke Banjarmasin? Ada apa di Banjarmasin? Mungkin ramai yang tidak tahu tentang Banjarmasin seperti mana mereka mengetahui tentang Jakarta, Bandung, Surabaya, Bali dan beberapa bandar-bandar besar di Indonesia. 

Pada asalnya kami bercadang untuk bercuti dan menjejak kasih saudara sebelah arwah nenek suamiku yang berketurunan Banjar sekitar penghujung Januari 2019. Ternyata setelah diberitahu oleh Atuk Bastani bahawa ada 2 majlis perkahwinan anak kulaan pada 3 Mac, 2019, maka kami menukar rancangan kami untuk menyertai mereka pada majlis tersebut agar dapat mengenali kulaan yang belum pernah kami kenali.

Perjalanan bermula dari KLIA menaiki pesawat Garuda Indonesia sekitar pukul 1 tengahari. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa tiada penerbangan terus ke Banjarmasin, kerana Banjarmasin bukanlah port of entry. Jadi penerbangan kami berhenti di Jakarta untuk pemeriksaan imigresen dan kemudian ke Banjarmasin dengan Garuda Indonesia juga. Kami menjejakkan kaki di Banjarmasin pada sekitar pukul 7.15 malam.

Bandara Syamsudin Noor yang terletak di Banjarbaru hanyalah sebuah lapangan terbang yang kecil. Mungkin sebesar Terminal 2 di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang sekitar 1980an dahulu. Ketika berjalan keluar dari pintu ketibaan, hatiku terasa sayu dan airmataku bergenang apabila melihat wajah-wajah orang Banjar..... kerana terlintas di fikiranku akan cerita-cerita dari arwah nenek suami. Tentang moyang neneknya yang berasal dari Banjarmasin, merantau meninggalkan kampung halaman membawa keluarga bersama untuk mencari sebuah kehidupan baru. Dalam hatiku berkata, "Kalaulah arwah nenek masih hidup, tentu dia gembira apabila mengetahui yang kami akan menjejak kasih yang telah terputus sekian lama. 

Kami menaiki teksi untuk ke Swiss-Belhotel Borneo Banjarmasin yang memakan masa 45 minit. Ketibaan kami disambut dengan penuh santun dan lemah-lembut. Hilang segala penat-lelah sepanjang perjalanan dari Malaysia yang mengambil masa hampir 9 jam (campur stop over di Jakarta)

Alhamdulillah, bahasa tidak menjadi masalah bagiku kerana aku boleh basurah banjar. Aku belajar bercakap banjar dari arwah nenek suamiku yang tinggal dengan kami hampir 12 tahun lamanya. Beliau kembali ke rahmatullah pada 8 Ogos, 1998. Al-Fatehah buat arwah nenek, Hajjah Siti Rahmah binti Haji Basri bin Haji Sulaiman.

Hajjah Siti Rahmah

Telah terlalu lama aku tinggalkan blog ini..... 
In shaa Alah, akan kuabadikan perjalanan kami seterusnya di blog ini, khas buat suami yang kukasihi.



Terjemahan Bahasa Banjar ke Bahasa Melayu:

Kulaan = saudara
Leluhur = sejati
Basurah = bercakap


Soto Banjar

Jika anda berkesempatan menjejakkan kaki ke bumi Banjarmasin, jangan lupa untuk mencuba Soto Banjar. Tempat paling popular untuk m...